Htpg Juara Kejohanan Bola Sepak Merdeka Sihat Peringkat Jabatan Kesihatan Negeri Perak 2017

  

27 OGOS 2017 - TAIPING - Kejohanan Bola Sepak Merdeka Sihat Peringkat Jabatan Kesihatan Negeri Perak 2017  telah dilangsungkan pada 26-27 Ogos 2017 di Padang  Esplanade, Taman Tasik Taiping. Kejohanan anjuran Kelab Perkhidmatan Kesihatan Taiping (KEMASIH) dengan kerjasama Ahli Lembaga Pelawat Hospital Taiping dan Majlis Kebajikan Dan Pembangunan Masyarakat (MAYANG) Parlimen Taiping ini telah disertai oleh 14 pasukan terdiri daripada kakitangan  hospital – hospital dan Pejabat- pejabat Kesihatan Negeri Perak.

Dato’ Hj. Shahril Azmir Bin Hj Ahmad Shaffie, Ketua Pemuda UMNO Bahagian Taiping telah hadir merasmikan program ini. Turut hadir, Dr. Hj. Kamaruddin bin Hj. Alias, Pengarah Hospital Taiping dan Hj. Wazir bin Khalid, Pengerusi Ahli Lembaga Pelawat Hospital Taiping.

Pasukan tuan rumah iaitu Hospital Taiping (HTPG) dan pasukan pelawat, Hospital Raja Permasuri Bainun (HRPB) telah berjaya mara ke peringkat akhir. HTPG telah berjaya menyandang gelaran Juara Kejohanan Bola Sepak Merdeka Sihat Peringkat Jabatan Kesihatan Negeri Perak 2017 dengan jaringan 2 – 1 hasil jaringan oleh Liyus Al Saari dan Mohd Razif b. Mohd Arshad.

Jurulatih pasukan, Azizul Haqiem bin Abd Rahman berharap agar pasukan Hospital Taiping akan lebih bersemangat lagi dalam pertandingan di masa akan datang dan meraih kemenangan serta kecemerlangan yang berterusan. Dr. Hj. Kamaruddin juga berbangga dengan kemenangan yang diraih oleh pasukan HTPG dan berharap semoga semangat kesukanan dan amalan gaya hidup sihat ini dapat menjadi contoh dan amalan anggota-anggota Kementerian Kesihatan Malaysia.