Hospital Taiping Terima Lawatan Daripada Hospital Rompin Pelajari Konsep Hospital Mesra Ibadah

10 JULAI 2017 – TAIPING – Hospital Taiping telah menerima kunjungan delegasi daripada Hospital Rompin, Pahang seramai 26 orang hari ini. Tujuan lawatan diadakan adalah bagi mempelajari dengan lebih mendalam pelaksanaan konsep Hospital Mesra Ibadah (HMI).

Dr. Hjh. Narimah Yusof selaku Pengerusi Jawatankuasa Hospital Mesra Ibadah dan Timbalan Pengarah (Perubatan) Hospital Taiping berbesar hati menyambut lawatan dari Pahang ini dan mengalu-alukan perkongsian ilmu yang bermanfaat di antara kedua-dua belah pihak. Konsep HMI telah dilaksanakan di Hospital Taiping semenjak penghujung tahun 2011 lagi dan semakin hari semakin dimantapkan dengan pelbagai pengisian.

Pelbagai program dan aktiviti telah dijalankan di Hospital Taiping bagi menterjemahkan konsep HMI kepada para pesakit yang beragama Islam dan juga kepada anggota-anggota melalui program-program “trainee of trainer”. Selain menyediakan kit solat untuk pesakit, menyediakan sudut solat di dalam wad dengan kelengkapan bagi menunaikan solat, para pesakit juga akan diziarahi oleh Penolong Pegawai Hal Ehwal Islam Hospital Taiping untuk mengajarkan kaedah solat dalam keadaan sakit dan terhad. Selain itu, Hospital Selama dan Hospital Parit Buntar juga merupakan “hospital angkat” Hospital Taiping di dalam pelaksanaan HMI. Antara aktiviti lain termasuklah penentuan arah solat surau baharu Hospital Selama, solat gerhana matahari, pengajian berkitab untuk kakitangan dan banyak lagi.

Turut hadir, Dr. P. Thillai Nathan, Pengarah Hospital Rompin yang komited dalam pelaksanaan HMI di Hospital Rompin. Dalam ucapannya, beliau mengucapkan terima kasih kepada Hospital Taiping kerana telah sudi menerima kunjungan mereka. Beliau juga akan memastikan pelaksanaan konsep HMI di Hospital Rompin sehingga berjaya. Beliau yang turut melaksanakan amalan berpuasa di Bulan Ramadhan dan berpuasa enam di bulan Syawal ini juga turut memaklumkan lawatan HMI mereka merangkumi hospital-hospital di Malaysia serta di Rumah Sakit Al- Islam di Bandung, Indonesia.